Ahad, 22 Mac 2009

Henti siaran satu jam

Kempen alam sekitar bagi mewujudkan kesedaran untuk masyarakat bermula sejak 2007 atas inisiatif Tabung Alam Sedunia (WWF) di Sydney, Australia. Seramai 50 juta penduduk dari 35 negara mengambil bahagian dalam kempen dianjurkan tahun lalu.

Malah WWF mensasarkan menarik satu bilion penduduk merangkumi badan kerajaan dan korporat termasuk WWF Malaysia untuk turut serta dalam kempen kesedaran global ini.

Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, stesen radio turut berperanan memberi kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai alam sekitar.

"Melalui tiga stesen radio ini, kami menyokong dan melaksanakan beberapa kempen seperti promosi dan iklan memaklumkan pendengar mengenai kempen dijalankan. Di samping memberi kesedaran, ia juga memberi maklumat tambahan kepada pendengar mengenai isu pemanasan global yang sering diperkatakan kebelakangan ini.

"Malah ketiga-tiga stesen radio berkenaan juga akan menghentikan siaran selama sejam sebagai tanda menyokong kempen berkenaan," katanya pada majlis sidang akhbar Kempen Earth Hour, baru-baru ini.

Sejak awal Mac lalu, beberapa mesej dan kempen berkaitan Earth Hour giat dijalankan barisan selebriti popular tanah air antaranya Zainal Abidin, Sarimah Ibrahim, Yasmin Ahmad (pengarah), Alex Yoong (pemandu kereta lumba) dan barisan penyampai radio.

Di samping menyokong kempen, pihaknya turut mengajak orang ramai turut serta menjayakan misi berkenaan. Melalui kempen ini, orang ramai diminta memadamkan suis lampu atau kelengkapan elektrik yang lain bagi tempoh sejam.

Ini bertujuan meningkatkan kesedaran betapa perlunya tindakan segera diambil dalam menghadapi perubahan iklim dunia.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim menyifatkan pembabitan stesen televisyen itu turut memeriahkan kempen berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan